Pancing-pancing

Pengenalan

Haa…ruangan ni aku buat khas untuk korang yang minat mancing. Aku pun memang giler sikit pasal mancing ni…aku start mancing masa aku sekolah rendah lagi. Masa tu aku cuma pakai batang salak aje untuk buat joran. Tali pun aku kebas benang nenek aku aje. Mata kail macam biase la, 3 batang 10 sen. Umpan lak aku guna cacing aje..senang je nak carik cacing kat kampung. Lokasi mancing tak kira la mana-mana pun…biasa aku mancing kat kolam atuk aku, kat tali air belakang rumah dan ade la sekali aku penah mancing kat perigi atuk aku..dapat semilang ape! Korang ingat dalam perigi takde ikan ke…

Tapi tu semua cerita dulu…sekarang ni dah ada kemajuan la sikit. Aku dah ada satu set joran siap dengan 2 gulung tali, mata kail, batu ladung sungai dan laut, perambut, pelampung, loceng, pisau, jaring simpan ikan dan lain-lain barang untuk kegunaan aku masa memancing. Kalau kat rumah aku mancing ngan adik aku Azwan la..dia pun kaki pancing. Kat umah niaku selalu mancing kat kolam atuk aku jer…ade la patin sesikit. Kekadang aku pasang taut untuk carik haruan. Umpan senang je…aku tebar le jala kat tali air untuk carik anak sepat. Kekadang guna sauk aje. Okey sekarang aku akan cerita sikit sebanyak pasal hobi memancing ni pada korang…

Tempat yang aku pernah mancing

  1. Jambatan Sg. Linggi, Kuala Linggi, Melaka
  2. Pasir Panjang, Port Dickson, N. Sembilan
  3. Kg. Cherok Paloh, Kuantan, Pahang
  4. Sungai Rembau, Lubok China, Melaka
  5. Sungai Semantan, Lanchang, Pahang
  6. Kg. Sungai Danga, Taman Perling, Johor
  7. Tali air KEMUBU, Kok Lanas, Kelantan
  8. Sungai Kota Tinggi, Johor
  9. Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka
  10. Sungai Telemong, Karak, Pahang

Peralatan

Joran - tak kira apa jenis sekali pun, asalkan ianya kuat dan mudah dibawa kemana-mana dan tahan lama. Harganya bergantung kepada jenama joran tersebut. Paling murah harganya dalam kingkungan RM 20 dan yang baik pula mencecah ratusan ringgit.

Kekili - biasanya orang panggil mesin. Harganya juga bergantung kepada jenama. Antara jenama popular adalah Shimano dan Daiwa. Penggunaannya juga bergantung kepada tempat kita memacing. Kalau memancing di laut sebaikya gunakan jenis multiplier dan jika memancing di sungai gunakan sahaja kekili biasa.

Tali tangsi - gunakan tali tangsi mengikut keadaan apa jenis ikan yang kita nak pancing. Kalau nak pancing ikan besar gunalah tali yang agak kasar, seperti tali 10kg ke atas. Kalau setakat ikan kecik tu guna saja tali 3kg - 7kg. Harga tali tangsi juga mempengaruhi kekuatannya. Pastikan tali tangsi yang anda beli tidak mudah bergulung dan berserabut apabila ditarik.

Mata kail - gunakan mengikut jenis ikan yang hendak dipancing. Lebih baik gunakan mata kail jenis stainless steel kerana ia tidak berkarat. Sebaik-baiknya selepas memancing di laut, basuh mata kail untuk mengelakkannya berkarat. Jangan guna mata kail yang sudah berkarat ketika memancing…bahaya!

Perambut - boleh didapati di kedai-kedai pancing dengan mudah. Samada jenis dawai ataupun jenis tangsi besar. Sesuai untuk memancing di laut. Boleh juga dibuat sendiri. Harganya dalam RM 3 bagi setiap satu perambut.

Batu ladung - ikut kesesuaian tempat. Jika memancing di kawasan berarus deras, gunakan batu besar sedikit supaya tali tidak bergerak mengikut arus.

Umpan

  1. Umpun-umpun (laut)
  2. Ikan Belanak (laut)
  3. Sotong (laut)
  4. Telur kerengga (sungai)
  5. Perut ayam (sungai)
  6. Anak Sepat (sungai)
  7. Cacing tanah (sungai)
  8. Udang (sungai atau laut)
  9. Hati ayam (sungai, kolam)
  10. Cengkerik (sungai, kolam)

 

 

 

 

Petua

  1. Masa nak keluar rumah seelok-eloknya baca bismillah dan selawat ke atas nabi
  2. Jangan berselisih faham dengan ahli keluarga
  3. Gunakan umpan laut untuk memancing di laut dan umpan sungai untuk memancing di sungai. Jangan campur adukkan antara umpan sungai dan laut
  4. Jangan suka cakap besar dan cabul
  5. Kalau nak pergi memancing, ada peralatan tertinggal, jangan patah balik, beli saje yang baru.
  6. Kalau dapat ikan merah yang banyak di sesuatu tempat secara berterusan, berhenti memancing disitu dan cari tempat lain
  7. Sebaiknya berhenti mancing bila mendengar azan

Ikan

Perairan pantai di negara kita ini sebenarnya kaya dengan pelbagai spesis ikan. Antara ikan yang ada di perairan negara kita adalah seperti ikan duri, gelama, gemang, tuka, kerapu, siakap, senangin, pari, merah, haruan tasik, alu-alu, tenggiri, yu kemejan, pacu, jenahak, belitung, jemuduk dan banyak lagi.

Ikan-ikan air tawar pula adalah seperti haruan, keli, belida, lampam, puyu, patin, tongsan, tilapia, tapah, ketutu, seluang, kelah, jelawat, bujuk, toman, sepat, kap, sebarau dan banyak lagi.

Ikan-ikan yang biasa dibuat perhiasan pula adalah seperti ikan emas, ikan laga, toman, kaloi, temakang, sebarau dan lain-lain lagi.